Rakyat Malaysia Mahu Vaksin Diwajibkan – Tinjauan

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Berbanding masyarakat di negara lain, rakyat Malaysia hampir sebulat suara percaya bahawa suntikan vaksin untuk penyakit berjangkit harus diwajibkan kepada semua orang, mengikut satu tinjauan.

Menurut IPSOS, sebuah syarikat penyelidikan pasaran, 86 peratus rakyat Malaysia yang terlibat dalam tinjauan itu sangat bersetuju bahawa vaksinasi terhadap penyakit berjangkit yang serius harus diwajibkan, sementara rakyat Rusia mencatatkan hanya 44 peratus, Amerika Syarikat (50 peratus), Jepun (52 peratus) dan skor global (64 peratus).

Tinjauan berkenaan melibatkan 20,009 responden di 22 buah negara dijalankan antara 25 Sept dan 9 Okt  lalu melalui sistem panel dalam talian syarikat itu

Pengurus Kanan Hal Ehwal Awam IPSOS Malaysia Lars Erik Lie, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pandemik COVID-19 telah menjadi ujian yang berat bagi sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia dan sistem penjagaan kesihatan di Malaysia adalah jauh lebih baik daripada negara-negara lain.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa rakyat Malaysia kini lebih mengambil berat terhadap penjagaan kesihatan berbanding dua tahun lalu kerana tiga daripada empat rakyat Malaysia percaya bahawa sistem penjagaan kesihatan di negara ini dapat memberikan mereka rawatan terbaik.

Sebanyak 75 peratus rakyat Malaysia yang terlibat dalam tinjauan itu berkata mereka percaya sistem penjagaan kesihatan mampu memberi rawatan terbaik berbanding hanya 63 peratus pada 2018.

Di seluruh dunia hanya separuh daripada orang beranggapan bahawa sistem penjagaan kesihatan negara mereka adalah baik, sementara rakyat Malaysia mempunyai pendapat yang lebih tinggi mengenai penjagaan kesihatan di negara ini, yang disokong oleh kepercayaan majoriti bahawa standard tinggi disediakan secara sama rata untuk semua orang, menurut tinjauan itu.

Sumber: BERNAMA

Author: ADMIN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *