Kepala Tenggelam Dua Inci Pun Boleh Lemas, 4 Langkah Mak Ayah Kena Tahu Waktu Bagi “Baby” Mandi

Sebagai ibu bapa, keselamatan anak kecil atau bayi sentiasa perlu dikawal ketat setiap masa, sama ada daripada pemakanan, aktiviti seharian dan sebagainya.Salah satu situasi rutin harian yang berisiko membahayakan bayi adalah pada waktu mandi di bilik air atau tempat mandikan bayi.Tahukah anda, jika bayi itu tidak diuruskan dengan betul, si comel itu berisiko akan lemas dan meninggal dunia. Na’uzubillahi min zalik.

Justeru, pengamal perubatan & kesihatan pediatrik, Dr. Redza Zainol baru-baru ini berkongsi tentang tips penting penjagaan keselamatan bayi ketika mandi. Ikuti perkongsian ini.

Keitka anak kecil itu sampai di Jabatan Kecemasan, seluruh badannya sudah biru dan sejuk.

Tak bernafas dan tak bergerak. Tiada degupan jantung kedengaran bila bayi diperiksa.

Matanya tertutup, mulutnya sedikit terbuka.

“Tolong saya doktor. Anak saya lemas. Tolong dia, tolong dia,”

Si kecil ini ialah anak tunggal dan dia dijaga oleh pengasuh pada siang hari.

Pintu tandas di rumah pengasuh walaupun ditutup tapi tidak dikunci. Dia masuk ke tandas bersendirian dan nampak baldi yang penuh dengan air.

Pada masa dia dijumpai pengasuh, kepalanya ada di dalam baldi dan kakinya ke atas. Pengasuh terus tarik menarik anak ini keluar, namun kaki, tangan dan mulutnya sudah membiru.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Google

Berapa lama dia dah terjatuh ke dalam baldi, tak ada siapa yang tahu. Satu minit atau 10 minit, entahlah.

Mana tahu pagi itu adalah hari terakhir ibunya lihat dia tersenyum.

“Maafkan saya puan. Anak puan dah tak ada lagi.”

Menyesal pun tak berguna. Masa yang berlalu tak boleh diputar semula. Hanya kenangan yang ditinggalkan. Dan dia, dah pergi meninggalkan semua.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Google

Kepala bayi atau anak kecil yang tenggelam dalam air sedalam dua (2) inci dah mampu buatkan dia lemas. Ia berlaku secara senyap dan pantas.

Anak yang lemas tak mampu menjerit meminta tolong. Air yang masuk ke dalam paru-paru akan buatkan paru-paru jadi basah dan tak berfungsi lagi.

Empat (4) minit tanpa oksigen sampai ke otak, dah cukup untuk buatkan kerosakan kekal pada otak anak.

Empat perkara penting ibu bapa kena tahu ketika mandikan bayi

Kawan-kawan, perhatikan empat (4) perkara ini ketika mandikan bayi dan anak kecil:-

1. Perhatikan secara sentuhan

Pastikan kita memerhati anak secara SENTUHAN. Maksudnya sebelah tangan kita sentiasa memegang anak. Sebelah tangan lagi tangan untuk kita ambil alatan mandian dan tuala bayi. Dan semua alatan ini mestilah dalam jangkauan tangan kita.

2. Jangan tinggalkan anak sendirian

Peraturan mudah ketika bayi berada DI DALAM air: Jangan tinggalkan anak sendirian atau tinggalkan anak untuk dijaga oleh anak kecil lain walaupun sekejap.

3. Tutup penutup mangkuk tandas

Penutup tempat duduk tandas ditutup sepanjang masa. Kepala anak kecil yang dah pandai berjalan boleh termasuk ke dalam lubang tempat duduk tandas dan lemas secara senyap. Sebaiknya, selak terus pintu tandas supaya tak dimasuki oleh anak kecil.

4. Jangan biarkan air bertakung

Kosongkan baldi, tong sampah atau apa-apa bekas yang boleh menakung air.

Bantu saya sebarkan info ini. Masih ada mak ayah yang belum tahu tentang ilmu keselamatan di rumah.

Jemput follow FB Redza Zainol supaya tidak terlepas info kesihatan kanak-kanak menarik yang boleh jadi teladan pada semua.

Saya terangkan lebih banyak ilmu kecemasan kanak-kanak di Channel Telegram saya di SINI.

#FormulaRawatanAwalKecemasanUntukSiKecil

Sumber: Dr. Redza Zainol

Author: ADMIN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *